1 of 29

PENGAJIAN ISLAM�MPU23012�

TOPIK 4:

ISLAM DAN CABARAN SEMASA

Di susun Oleh : Noorkhairan bin Nordin

Ketua Kursus Pendidikan Islam, Politeknik Melaka -(PMK)

2019

2 of 29

  • 4.1
  • CABARAN DAN ISU-ISU SEMASA

3 of 29

4.1.1 GEJALA KERUNTUHAN AKHLAK

  • Gejala keruntuhan akhlak merupakan satu isu yang sangat meruncing sekarang. Ia bukan sahaja berlaku dalam kalangan generasi muda dan remaja, malah turut terpalit dalam golongan dewasa.
  • 1. Perlakuan zina
  • Budaya zina, homoseksual dan lesbian yang berlaku sekarang ini amat mengaibkan umat Islam sejagat. Ramainya umat Islam yang terjebak dengan masalah homoseksual membimbangkan kita akan berulangnya peristiwa masyarakat Sadum semasa zaman Nabi Luth a.s.
  • Masyarakat Sadum adalah masyarakat yang rendah akhlaknya, tidak mempunyai nilai agama dan peradaban. Maksiat yang paling menonjol dalam kehidupan masyarakat Sadum ialah perbuatan homoseksual dalam kalangan lelaki dan lesbian dalam kalangan perempuan.

��

4 of 29

  • Bahaya perbuatan zina:
  • 1. Membunuh rasa malu walhal rasa malu amat penting dan merupakan perhiasan yang sangat indah bagi seorang lelaki dan perempuan.
  • 2. Agama si penzina akan berkurang, hilangnya sikap warak, hilang kehormatan pelakunya dan jatuh martabatnya.
  • 3. Wajah seseorang yang telah melakukan zina akan menjadi muram dan gelap.
  • 4. Perbuatan zina mematikan sinar seri pelakunya dan menjadikan hati mereka degil ke arah kebaikan.

Islam tidak akan menyusahkan umat, malah memudahkan umatnya. Islam mengharuskan pergaulan antara lelaki dengan perempuan untuk tujuan untuk kebaikan. Walau bagaimanapun, pergaulan antara lelaki dan perempuan mestilah dilakukan dalam situasi yang terhindar daripada maksiat.

5 of 29

  • Adab pergaulan antara lelaki dan perempuan mengikut Islam:
  • 1. Pakaian hendaklah sentiasa menutup aurat dan sopan sebagaimana yang ditentukan oleh syarak.
  • 2. Bergaul apabila mempunyai tujuan seperti dalam urusan ilmu yang bermanfaat, amal soleh, perjuangan, kebajikan dan lain-lain yang memerlukan banyak tenaga lelaki dan perempuan.
  • 3. Menjaga tutur kata dan tingkah laku yang sopan.
  • 4. Tidak berdua-duaan antara lelaki dan perempuan tanpa disertai mahram.

6 of 29

  • 2. Penggunaan barang terlarang
  • Masyarakat Islam kini turut berdepan dengan masalah penggunaan barang terlarang seperti minum arak, penyalahgunaan najis dadah, pil khayal dan menghidu gam.
  • Islam menggalakkan umatnya mengambil makanan yang baik, bersih dan halal. Tegahan mengambil bahan yang kotor, jijik dan keji ini adalah ditegah sama sekali kerana ianya mempunyai kaitan yang rapat dengan mental dan spiritual. Secara tidak langsung, pengambilan bahan terlarang ini akan mempengaruhi kesempurnaan amal ibadat seseorang.

7 of 29

  • 3. Masalah rasuah dan dusta
  • Terdapat keruntuhan akhlak dalam kalangan golongan profesional. Sebagai contoh, anda boleh melihat menularnya masalah rasuah, berdusta dan fitnah.
  • Perkataan rasuah berasal daripada perkataan Arab, al-risywah. Di dalam al-Quran, rasuah meliputi juga perkataan jenayah lain seperti merompak, menipu dan memeras ugut dan ia dikategorikan sebagai dosa besar kerana terdapat unsur kezaliman dan mengambil hak orang lain tanpa kebenaran.
  • Allah s.w.t. melaknat orang yang menerima dan memberi rasuah kerana Allah s.w.t. mementingkan rezeki yang halal. Rezeki yang diterima melalui pecah amanah, rasuah, berdusta merupakan haram.

8 of 29

Perbezaan Rasuah dan Hadiah

  • Pemberian sesuatu hadiah seperti wang, hamper atau barangan keperluan kepada seseorang yang mempunyai kuasa tertentu dengan tujuan yang tertentu dinamakan rasuah.
  • Pemberian hadiah dihulurkan bertujuan untuk mendekatkan diri dengan seseorang yang lain kerana cinta dan kasih, dengan tujuan bantu-membantu dan sebagai rakan yang dapat berkongsi suka dan duka bersama-sama tanpa ada niat di sebaliknya dinamakan sebagai hadiah.

9 of 29

  • 4. Bahaya Fitnah
  • Perkataan fitnah berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan. Fitnah sering dimaksudkan sebagai berita bohong atau tuduhan yang diada-adakan untuk membinasakan seseorang yang tidak sesuai dengan kenyataan atau kebenaran.
  • Memfitnah sesama umat Islam merupakan salah satu penyakit rohani. Manusia yang memiliki penyakit rohani ini adakalanya suka menghasut, menimbulkan kekacauan dan memporak-perandakan keadaan tenang dalam kalangan masyarakat.
  • Allah s.w.t. telah meletakkan dosa membuat fitnah lebih buruk kesannya daripada membunuh.

10 of 29

4.1.2 PEMBANGUNAN ALAM SEKITAR

  • Konsep pembangunan dalam Islam ialah konsep pembangunan lengkap dengan mengambil kira kepentingan semua unsur yang membentuk tabii manusia iaitu rohani dan jasmani dan juga pembangunan yang berkaitan dengan persekitaran hidup mereka sebagai khalifah dan hamba Allah.
  • Pembangunan yang paling penting menurut Islam ialah pembangunan rohani iaitu jiwa atau hati. Hati manusia sebenarnya merupakan komponen terpenting dalam diri manusia. Konsep pembangunan holistik dalam Islam mestilah bermula daripada pembersihan jiwa yang dikenali sebagai tazkiyat al-nafs.
  • Manakala konsep pembangunan alam sekitar mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan alam sekitar. Islam menolak pembangunan yang hanya menekankan aspek fizikal dan material tetapi merosakkan aspek kerohanian dan alam sekitar.

11 of 29

  • Allah s.w.t. mengingatkan manusia supaya berbuat baik kepada semua makhluk termasuk alam sekitar. Jika Allah s.w.t. mencipta alam sekitar dengan penuh keindahan dan keseimbangan, maka manusia juga berkewajipan menjaga keindahan alam sekitar seperti mana yang diciptakan Allah s.w.t. pada asalnya.
  • Fungsi alam sekitar yang diciptakan Allah s.w.t:
  • 1. Sebagai tanda-tanda kebesaran Alllah s.w.t.
  • 2. Sebagai buku ilmu, iaitu sentiasa bersedia untuk dikaji dan digali rahsia khazanah ilmu Allah s.w.t.
  • 3. Sebagai hadiah daripada Allah s.w.t. kepada makhluk-Nya untuk dimanfaatkan demi kesenangan hidup di dunia ini.

12 of 29

4.1.3 SAINS, TEKNOLOGI DAN ICT

  • Sains, teknologi dan ICT merupakan tiga bidang yang sangat penting dalam kehidupan manusia zaman sekarang. Namun, dalam masyarakat Islam, ketiga-tiga bidang ini agak ketinggalan berbanding masyarakat lain. Hal ini mungkin berpunca daripada sikap dan pandangan masyarakat Islam terhadap ketiga-tiga bidang tersebut.
  • Ilmu sains bukan sahaja bermaksud satu disiplin ilmu yang berkaitan dengan fenomena alam fizikal, tetapi juga merujuk kepada kaedah memperoleh ilmu itu iaitu melalui eksperimen dan pembuktian empirikal. Dengan itu, sains menolak penjelasan melalui unsur ghaib yang tidak boleh dibuktikan secara empirikal.
  • Teknologi merujuk kepada cara penyelesaian kepada masalah sebenar manusia melalui kemajuan dan penggunaan peralatan, bahan-bahan, jentera, maklumat, pemprosesan dan sebagainya.
  • ICT pula merujuk kepada penggunaan teknologi dalam mengurus, mengguna dan memproses maklumat.

13 of 29

  • Antara sebab umat Islam mesti memberikan perhatian berat kepada sains, teknologi dan ICT ialah kerana:
  • 1. Negara yang memiliki kekuatan dalam bidang ini adalah negara yang paling berkuasa dan berpengaruh. Umat Islam mesti memastikan bahawa negara umat Islam menjadi negara yang paling berpengaruh. Hal ini memungkinkan usaha penyebaran dakwah Islamiyyah dapat dilakukan dengan lebih berkesan.
  • 2. Sains, teknologi dan ICT bukanlah sesuatu yang asing bagi agama Islam. Semua ilmu berasal daripada Allah s.w.t.
  • 4. Islam sangat terbuka dalam usaha mendapatkan ilmu dan kebijaksanaan. Islam membenarkan para penganutnya untuk mengambil ilmu walaupun daripada sesiapa juga.

14 of 29

4.1.4 GLOBALISASI

  • Globalisasi ditakrifkan sebagai satu proses perhubungan yang kompleks antara masyarakat, budaya, institusi dan juga individu di seluruh dunia yang melibatkan pemampatan masa dan ruang, serta memendekkan jarak perhubungan dari satu tempat ke satu tempat. Hal ini menjadikan dunia kelihatan lebih kecil dan kehidupan manusia semakin rapat antara satu sama lain.
  • Globalisasi yang kita sedang hadapi hari ini meliputi pelbagai aspek kehidupan manusia, baik dalam bidang ekonomi, politik, sosial, kepercayaan, makanan, ilmu pengetahuan dan maklumat, cara berfikir, hiburan dan sebagainya.
  • Melalui proses globalisasi, semua bidang kehidupan akan saling berkaitan dan berhubungan antara satu sama lain dan akhirnya akan menjadi satu sistem yang tunggal. Hal ini akhirnya akan menghilangkan nilai-nilai dan ciri-ciri tersendiri setiap masyarakat dan bangsa yang hidup di dunia ini.

15 of 29

  • Walaupun secara teorinya, globalisasi akan bergerak secara dua hala iaitu saling mempengaruhi, namun realitinya, ia bergerak secara sehala sahaja. Masyarakat yang mempunyai kekuatan dari segi ekonomi, politik, sains dan teknologi dan juga ketenteraan akhirnya akan dapat mempengaruhi masyarakat yang lemah.
  • IMPAK NEGATIF GLOBALISASI:
  • 1. Aspek budaya.
  • - Globalisasi telah memaksa budaya hidup masyarakat Barat ke atas masyarakat Timur. Jika dahulu masyarakat Melayu-Islam mempunyai adat budaya yang tersendiri. Namun oleh kerana pengaruh globalisasi yang membolehkan cara hidup dan berfikir Barat ditonjolkan dengan berleluasa, maka hari ini kita dapati budaya hidup dan cara berfikir masyarakat Barat telah mengatasi cara hidup dan berfikir masyarakat Melayu-Islam di Malaysia.

16 of 29

  • 2. Bidang ekonomi dan politik Barat
  • - Sistem Barat telah menggantikan sistem politik dan ekonomi tradisional masyarakat lain. Barat yang lebih kuat dari segi ekonomi, politik, ketenteraan dan sains telah memaksa semua negara di dunia untuk mengamalkan sistem liberal demokrasi seperti yang diamalkan di Eropah dan Amerika.
  • 3. Membawa tanggapan bahawa mana-mana masyarakat yang tidak menerima sistem liberal demokrasi Barat akan dianggap sebagai masyarakat yang kejam, zalim dan tidak bertamadun. Semua yang datang dan berasal dari Eropah dan Amerika dianggap baik, maju dan bertamadun, manakala semua yang berasal dari Timur dianggap kejam, zalim dan mundur.

17 of 29

  • IMPAK POSITIF GLOBALISASI:
  • 1. Globalisasi memungkinkan pencarian, penyebaran dan pemindahan ilmu dan maklumat dilakukan dengan mudah dan pantas. Hal ini kerana satu daripada unsur dan pemangkin penting dalam era globalisasi masa kini ialah internet.
  • 2. Dapat merapatkan jurang ilmu pengetahuan dan tamadun antara penghuni dunia.
  • 3. Kemudahan Internet dan kemajuan perhubungan fizikal seperti kereta api dan perhubungan udara yang canggih dapat merapatkan perhubungan antara bangsa dan mewujudkan suasana saling memahami antara masyarakat dunia.
  • 4. Globalisasi juga membolehkan keperluan penduduk dunia dari segi makanan, perkhidmatan dan keperluan lain dapat dipenuhi dengan murah, mudah, cepat.
  • 5. Kemudahan internet dan teknologi komunikasi sebagai platform dakwah bagi menyebarkan ajaran Islam dan menyampaikan nilai murni Islam kepada masyarakat seluruh dunia sepertimana masyarakat Barat sangat aktif menyebarkan cara hidup dan sistem nilai mereka di internet.

18 of 29

4.1.5 SALAH FAHAM TERHADAP ISLAM

  • Islam merupakan agama yang paling banyak disalahfahami oleh manusia. Salah faham terhadap Islam berlaku dalam kalangan masyarakat bukan Islam dan dalam kalangan masyarakat Islam sendiri.
  • Pelbagai tuduhan, tohmahan dan anggapan salah dibuat terhadap Islam yang menggambarkan kesalahfahaman masyarakat terhadap Islam. Semua ini berlaku kerana kejahilan terhadap hakikat agama Islam itu sendiri.

19 of 29

CONTOH SALAH FAHAM TERHADAP ISLAM

  • 1. Islam agama yang menganjurkan keganasan
  • Tuduhan ini popular selepas peristiwa 11 September 2001 apabila sekumpulan pemuda disyaki beragama Islam merampas kapal terbang penumpang di Amerika Syarikat dan merempuh bangunan Pusat Dagangan Dunia di New York yang menyebabkan lebih 6,000 orang mati.
  • Tohmahan ini adalah salah sama sekali. Pada zaman keagungan Islam, masyarakat manusia pelbagai agama telah hidup dengan aman di bawah pemerintahan Islam. Malah ada antara mereka yang dilantik sebagai menteri yang diberikan kuasa-kuasa tertentu dalam pemerintahan negara Islam.
  • Tidak ada pembunuhan terhadap masyarakat awam semasa Perang Salib selepas tentera Islam menawan Constantinople. Begitu juga apabila tentera Islam terpaksa berundur dari Sepanyol, orang Yahudi juga turut mengikut tentera Islam untuk berundur.
  • Mereka merasa lebih selamat untuk tinggal di bawah pemerintahan Islam pemerintahan Kristian. Malah, banyak ayat al-Qur’an yang melarang umat Islam bermusuhan dengan orang bukan Islam kecuali jika mereka dahulu yang memulakan permusuhan.

20 of 29

  • 2. Islam disebarkan melalui mata pedang (kekerasan dan peperangan)
  • Tuduhan ini juga tidak benar sama sekali. Al-Qur’an melarang umat Islam melakukan kekerasan terhadap orang bukan Islam untuk memaksa mereka menerima Islam. Peperangan terhadap orang bukan Islam hanya dibenarkan jika orang bukan Islam yang memulakan peperangan atau melakukan persiapan untuk berperang atau melakukan kezaliman terhadap orang Islam atau menyekat usaha dakwah Islamiah secara aman.
  • Peperangan ini mestilah dilakukan dalam batasan yang tertentu untuk mengurangkan jumlah kemusnahan harta benda dan kematian.
  • Peristiwa penaklukan kota Baghdad oleh orang Mongolia semasa pemerintahan Bani Abbasiyyah menyaksikan tentera dan pembesar Mongolia secara sukarela memeluk agama Islam selepas mengkaji keindahan Islam. Mereka tidak dipaksa untuk memeluk Islam kerana mereka sangat kuat dan berkuasa.
  • Sejarah turut mencatatkan bahawa agama Islam disebarkan di Nusantara termasuk di Tanah Melayu semasa zaman Parameswara memerintah Melaka bukanlah melalui peperangan dan kekerasan.

21 of 29

  • 3. Islam agama yang kolot dan ketinggalan
  • Tuduhan ini dilontarkan berpunca daripada kedudukan umat dan masyarakat Islam seluruh dunia yang sangat mundur, tidak berilmu dan berpecah belah.
  • Hakikatnya masyarakat Islam mundur hari ini kerana mereka telah membelakangkan agama Islam. Islam hanya pada nama. Dari segi pemikiran, kehidupan dan penghayatan, mereka tidak lagi mengikuti ajaran Islam. Justeru, mereka mundur dan lemah seperti mana yang dialami sekarang.
  • Oleh sebab itulah ayat yang pertama diwahyukan oleh Allah s.w.t iaitu IQRA’, telah menggesa Rasulullah s.a.w. untuk membaca. Dengan penekanan terhadap kepentingan ilmu, kita dapati agama Islam telah membawa masyarakat Arab yang asalnya hidup secara mundur, berubah menjadi satu masyarakat yang maju dan gagah.
  • Islam bukan agama tahyul, khurafat dan mitos. Ia merupakan agama yang berdasarkan kepada wahyu, akal, kebijaksanaan dan pembuktian. Oleh sebab itu, agama Islam dapat terus bertahan malah semakin berkembang dengan majunya ilmu pengetahuan dan taraf pemikiran manusia.

22 of 29

  • 4. Islam tidak mementingkan kehidupan dunia
  • Ada pandangan, masyarakat Islam perlu menumpukan kepada badat khusus untuk mendapatkan kebahagiaan akhirat. Kesenangan dunia hanya milik orang bukan Islam. Dengan itu, biarkan orang bukan Islam berusaha untuk kejayaan hidup di dunia manakala orang Islam tumpukan kepada hidup di akhirat. Hal ini merupakan satu tanggapan salah yang bercanggah dengan mesej Islam yang sebenarnya.
  • Konsep ibadat dalam Islam merupakan satu konsep yang luas. Ibadat bukan sahaja bermaksud sembahyang, berpuasa, berzakat, haji, membaca al-Qur’an dan sebagainya, tetapi ibadat juga termasuk bekerja mencari rezeki dalam bidang perniagaan, pertanian, perindustrian, perkhidmatan.
  • Kehidupan dunia yang ditolak oleh Islam ialah kehidupan dunia yang penuh dengan kejahatan dan maksiat. Sebaliknya, kehidupan dunia yang dilalui dengan baik mengikut lunas-lunas Islam adalah kehidupan yang disukai dan diredai Allah s.w.t. dan akan diberikan ganjaran yang baik juga di akhirat nanti.

23 of 29

4.1.6 RADIKALISME DAN EKSTREMISME DALAM BERAGAMA

  • Kebelakangan ini, telah muncul gerakan radikalisme dan ekstrimisme dalam beragama. Mereka ingin mendirikan negara Islam dengan cara kekerasan dan melalui aktiviti keganasan.
  • Radikalisme bererti fahaman atau aliran/gerakan yang menginginkan perubahan atau pembaharuan sosial dan politik dengan cara kekerasan atau drastik. Islam merupakan agama kedamaian. Islam tidak pernah membenarkan penggunaan kekerasan dalam menyebarkan agama, fahaman keagamaan dan fahaman politik.
  • Ekstremisme adalah fahaman atau keyakinan yang sangat kuat terhadap suatu pandangan yang melampaui batas kewajaran dan bertentangan dengan hukum melalui cara atau gerakan yang bersifat keras dan fanatik dalam mencapai tujuan. Ekstremisme mengakibatkan pertentangan antara satu dengan yang lain, menimbulkan perasaan saling mencurigai sehingga mengakibatkan perpecahan.

24 of 29

Ciri-Ciri Fahaman Radikalisme:

  • 1.Sering menyatakan kebenaran tunggal sehingga mereka dengan mudahnya menyesatkan kelompok lain yang tidak sependapat dengannya.
  • 2.Cenderung memberatkan urusan ibadah yang hukumnya harus atau sunat kepada seolah-olah wajib dan perkara yang makruh seola-olah haram. Sebagai contoh: Memanjangkan janggut dan menyingkatkan seluar di atas buku lali.
  • 3.Menolak dakwah secara "step by step", yang digunakan oleh Nabi s.a.w dan para sahabat. Memilih dakwah secara kasar dalam berinteraksi dan terlalu emosional dalam menyampaikan dakwah. Tanggapan mereka, dakwah secara keras akan mewujudkan ketegasan dan menjunjung misi "amar ma'aruf nahi munkar". Sesungguhnya ia merupakan sikap yang bertentangan dengan misi perkembangan dakwah Islam
  • 4.Mudah mengkafirkan orang lain yang berbeza pendapat, mudah berburuk sangka kepada orang lain yang tak sefahaman dengan mereka.
  • 5.Menggunakan cara ganas seperti: pengeboman, penculikan, penderaan, bagi menarik perhatian media massa.

25 of 29

  • Ciri-ciri Fahaman Ekstremisme:
  • 1. Fanatik pada suatu pendapat dengan fanatisme yang keterlaluan, sehingga tidak mahu mengakui pendapat orang lain
  • 2. Kebanyakan golongan ini mewajibkan ke atas manusia sesuatu yang Allah dan RasuNya tidak wajibkan.
  • 3. Mempersulitkan sesuatu isu dan hukum yang bukan pada tempatnya.
  • 4. Sikap kasar dan keras, serta buruk sangka terhadap manusia.

26 of 29

Cara Mengatasi Radikalisme dan Ekstremisme

  • 1) Peranan Masyarakat: Masyarakat wajib kembali kepada Islam dalam bentuk yang syumul / lengkap; sosial, ekonomi, politik, undang-undang, pemikiran.
  • 2) Peranan Pemerintah: Memberi ruang masyarakat Islam diperintah secara Islam, adil, tidak mencabar akidah dan akhlak Islam.
  • 3) Duduk berdialog bersama Ekstrimist dengan membuka pentas wacana, dialog, soal jawab,
  • 4) Jangan melampau melabel pelampau bagi membuka mudarat yang lebih besar. Kerajaan dan masyarakat tidak harus melampau dalam menggambarkan fenomena ekstrim.

5) Mengamalkan Wasatiah (Kesederhanaan) dalam pengamalan agama

27 of 29

4.1.7 DIALOG PERADABAN

  • Penduduk dunia terdiri daripada penganut pelbagai agama dan kepercayaan. Dalam era globalisasi ini, penganut daripada pelbagai agama sering berinteraksi antara satu sama lain. Dengan itu, kemungkinan berlakunya salah faham antara mereka sentiasa wujud. Bagi mengelakkan perkara ini, maka dialog peradaban membolehkan penganut pelbagai agama dan kepercayaan berbincang dan mengenali antara satu sama lain adalah sangat mustahak.
  • Dialog peradaban secara umumnya merujuk kepada usaha berterusan bagi membolehkan penganut daripada pelbagai agama, kepercayaan dan tradisi saling mengenali, serta menghormati antara satu sama lain.
  • Ia bertujuan untuk menghapuskan rasa curiga, buruk sangka dan salah faham terhadap penganut agama lain bagi mewujudkan suasana kehidupan masyarakat dunia yang aman sejahtera.

28 of 29

  • Dalam konteks negara Malaysia, dialog peradaban ini merupakan suatu yang sangat penting. Hal ini kerana negara kita merupakan negara yang sangat rencam dengan kepelbagaian agama, bangsa, bahasa dan budaya. Kepelbagaian ini, jika tidak ditangani dengan baik, akhirnya akan menjadi faktor yang boleh menghancurkan kehidupan negara ini. Sebaliknya, jika diuruskan dengan bijak, ia akan menjadi kekuatan yang akan meletakkan negara ini kukuh dan istimewa di mata dunia.
  • Daripada perspektif Islam, kepentingan mengadakan dialog peradaban ini tidak dapat dinafikan lagi. Rasulullah s.a.w. telah banyak kali mengadakan dialog dengan ketua-ketua musyrikin Arab dan juga delegasi asing yang datang ke Madinah. Malah, Baginda membenarkan mereka memasuki Masjid Nabi untuk mengadakan dialog keagamaan dan ketuhanan dengan Baginda. Tegasnya, dialog peradaban merupakan sesuatu yang amat penting dilakukan bagi mewujudkan kehidupan dunia sejagat yang aman, sejahtera dan harmoni.

29 of 29

TERIMA KASIH