Published using Google Docs
SBP 6024-INTEGRASI ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI SEKOLAH(individual assignment).doc
Updated automatically every 5 minutes

INTEGRASI ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI SEKOLAH

PENGENALAN

      Teknologi Maklumat dan Komunikasi atau lebih dikenali sebagai ICT adalah didefinisikan sebagai pelbagai bentuk peralatan dan sistem untuk pelbagai kegunaan seperti memproses, mengurus, memanipulasi, memindah, menyimpan dan menyebarkan maklumat melalui media elektronik.  Dewasa ini, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) telah digunakan dalam hampir kesemua aspek kehidupan dan ia tidak lagi dilihat sebagai kehendak tetapi sebagai keperluan masa kini. Pengaruh teknologi ini dijangkakan akan membawa impak yang lebih besar terhadap dunia yang akan datang (Robertson, 1998).

          Saban tahun bidang ini senantiasa berkembang pesat dan secara tidak langsung iannya memberi kesan kepada corak hidup masyarakat di dunia ini. Adalah menjadi nilai tambah dan kelebihan kepada seseorang individu itu sekiranya memiliki kemahiran ICT terutamanya dalam pasaran pekerjaan pada masa kini memandangkan ICT amat penting dalam apa sahaja sektor pekerjaan walau di mana sahaja kita berada. Pendekatan pendidikan bersifat tradisional atau berasaskan kertas dan pen memerlukan perubahan segera kepada pendidikan yang berteknologi dan merupakan satu perkara besar yang memerlukan sokongan di mana ia melibatkan sokongan dan usaha daripada pelbagai pihak.

         ICT menjadi alat pemudah komunikasi apabila digunakan untuk membolehkan murid dan guru daripada lokasi yang berbeza menghantar, menerima dan berkongsi maklumat yang pelbagai bentuk. Kemajuan ICT pada hari ini membolehkan komunikasi boleh dilakukan dalam pelbagai mod seperti teks, grafik, audio, video dan kombinasi pelbagai model. Proses pengajaran didefinisikan sebagai proses penyebaran ilmu pengetahuan atau kemahiran-kemahiran yang tertentu. Proses ini meliputi perkara-perkara seperti perancangan, pengelolaan, penyampaian, bimbingan dan penilaian yang bertujuan untuk menyebarkan ilmu pengetahuan  atau kemahiran-kemahiran kepada para pelajar dengan cara yang lebih berkesan (Mok Soon Sang, 2003). Dalam bidang pendidikan, guru bertindak sebagai pelaksana dan memikul tanggungjawab yang sangat besar mengajar para pelajar bagi mencapai objektif tertentu. Setiap objektif ini perlulah membawa kepada perubahan yang lebih baik kepada diri pelajar tersebut.

     Pembelajaran bermaksud proses untuk mendapatkan ilmu atau kemahiran. Pengetahuan dan kemahiran ini boleh diperolehi melalui pelbagai pengalaman dan ilmu pengetahuan yang berada di persekitarannya.  Kamus Dewan mentaksirkan bahawa proses pembelajaran merupakan satu proses belajar untuk memperolehi ilmu pengetahuan dan menjalankan pelbagai latihan. Dalam konteks pembelajaran, penggunaan ICT boleh dikategorikan sebagai tutorial, penerokaan (eksploratori), aplikasi dan komunikasi. Perisian pendidikan yang digunakan dalam pembelajaran tutorial sebahagian besar direkabentuk berdasarkan model tradisional atau model transmisi yang melihat guru sebagai penyampai maklumat utama dan murid sebagai penerima dan lebih mudah diadaptasi oleh guru (Clack dan Sun,1996). 

           Menurut Pisapa (1994), integrasi ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah bermaksud penggunaan teknologi untuk memperkenalkan, memperkukuh dan menambahkan kemahiran. Apa yang penting, teknologi ini perlu dan haruslah tidak menyimpang daripada objektif pengajaran-pembelajaran dan kaedah pengajaran di sekolah-sekolah. Pengintegrasian ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran merupakan satu usaha yang baik namun ianya bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Lai Kim Leong, terdapat pelbagai kaedah yang boleh diaplikasikan dan digunakan dalam menjayakan pengintegrasian ICT. Antara kaedah-kaedah tersebut adalah kaedah pakej pembelajaran.

           Pakej pembelajaran ini berkonsepkan pembelajaran berdikari atau Independent Learning di mana ianya berasaskan ICT yang lebih bersifat terbuka dan kolobrasi dalam bidang pendidikan. Dengan ini, para pelajar sekolah boleh melaksanakan proses pembelajaran sama ada secara berkumpulan atau individu. Pakej ini mengandungi cadangan pelbagai aktiviti mengikut kepelbagaian tahap kecerdasan dan gaya pembelajaran para pelajar. Melalui pakej ini, mereka boleh mengakses pelajaran mereka semasa di rumah dan mereka turut boleh berhubung dengan guru mereka walaupun di luar waktu sekolah. Selain itu, para pelajar dan guru juga boleh menjalankan aktiviti yang dicadangkan berasaskan prosedur pelaksanaan aktiviti untuk guru dan juga prosedur untuk pelajar. Penilaian pembelajaran juga boleh dilaksanakan oleh guru mahupun murid melalui akses internet.

ISI-ISI

       Perkembangan serta keperluan ICT pada masa kini telah membawa kepada perubahan kepada pendekatan proses pengajaran dan pembelajaran secara tidak langsung. Michael Fullen (1998) menyatakan sekolah tidak dapat dipisahkan daripada masyarakat dan dunia pekerjaan yang bakal diceburi oleh masyarakat atau seseorang individu itu. Namun, masih terdapat ramai guru yang tidak peka dengan peluang-peluang yang boleh diceburi oleh pelajar-pelajar sama ada di bandar atau luar bandar. Oleh yang demikian, atas dasar kesedaran dan keperluan pasaran kerja dan keperluan pembelajaran pada hari ini, pelbagai pihak telah memainkan peranan yang besar dalam melaksanakannya.

     Terdapat pelbagai matlamat pembangunan ICT dalam bidang pendidikan seperti meningkatkan infrastruktur ICT. Melalui peningkatan ini, kita dapat mengakses dengan lebih luas dan ekuiti dalam kemudahan ICT, memperluas aktiviti kurikulum berasaskan ICT, meningkatkan sistem pentaksiran dengan menggunakan ICT dan banyak lagi. Selain menekankan pengintegrasian ICT dalam proses pengajaran-pembelajaran, pengetahuan dan kemahiran ICT di kalangan pelajar, tenaga pengajar, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia turut dapat ditingkatkan. Matlamat-matlamat lain termasuklah; meningkatkan penggunaan ICT dalam pengurusan pendidikan, meningkatkan usaha pengurusan dan penyelenggaraan perkasaan ICT, meningkatkan program penyelidikan dan pembangunan dan meningkatkan kerjasama antara institusi pendidikan dengan masyarakat dalam membantu memperkembangkan ICT dalam pendidikan (Pelan Induk Peningkatan Pendidikan, 2007).

           Pihak kerajaan terutamanya Kementerian Pelajaran Malaysia banyak memainkan peranan penting dalam memastikan ICT dapat direalisasikan dan diintegrasikan dalam bidang pendidikan seperti memperkenalkan Projek Sekolah Bestari (Smart School), Projek School Net, Projek Myschoolnet, pembinaan makmal komputer, TV Pendidikan (TVP) dan sebagainya. Bagi menjayakan program pengintegrasian ICT dalam pendidikan di sekolah, antara usaha-usaha lain yang dilakukan ialah menawarkan subjek Teknologi Maklumat (MPTM) pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2000 sebagai salah satu subjek pilihan dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Sejajar dengan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia atau lebih dikenali sebagai Kementerian Pendidikan Malaysia ketika itu memutuskan untuk mencuba MPTM ke atas 15 buah sekolah menengah pada tahun 1999 dan ditambah kepada 30 buah sekolah pada tahun 2000 (Jamaluddin Harun dan Dr. Zaitun Tasir, 2003)

       Kerajaan turut memberi perhatian terhadap sekolah-sekolah pendidikan khas masalah pendengaran, penglihatan dan pembelajaran. Pada ketika ini, terdapat 32 buah sekolah pendidikan khas di seluruh negara yang meliputi 28 buah sekolah rendah dan 4 buah sekolah menengah di samping 1,118 program pendidikan khas integrasi (72 masalah pendengaran, 26 masalah penglihatan dan 1, 020 masalah pembelajaran) yang membabitkan 25,106 pelajar. Dalam RMK-9, pihak kerajaan telah memperuntukkan RM15 juta bagi melaksanakan program ICT dalam pendidikan khas. Ia termasuklah Pembestarian Sekolah Pendidikan Khas, Pusat Pembelajaran Kendiri dan penggunaan ICT di kelas pra sekolah pendidikan khas.

         Menurut laporan Syuhada Choo Abdullah dalam Berita Minggu Mei 2007, bagi program Pembestarian Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Khas (JPK) telah melaksanakan projek perintis sejak RMK-8 pada tahun 2002 yang membabitkan 4 buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Alma, Pulau Pinang dan juga Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) Setapak, Kuala Lumpur (masalah penglihatan); SKPK Alor Star, Kedah (masalah pendengaran); serta SMPK Vokasional Indahpura, Johor (masalah pendengaran, penglihatan dan pembelajaran). 

        Smart School Blueprint merupakan antara usaha untuk memperkasakan dan mengintegrasikan ICT. Pada awal 1996, Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan konsep dan implikasinya terhadap sistem pendidikan di Malaysia manakala pada akhir 1996, sekolah bestari menjadi 1 daripada 7 flagship application bagi Multimedia Super Corridor pada Januari 1997.  Terdapat 8 bahagian iaitu, (1) Model Konseptual, (2) Konsep Pengajaran-Pembelajaran (Guiding Principles), (3) Pengurusan, (4) Senario dan Proses, (5) Kemahiran dan Tanggungjawab orang ramai, (6) Keupayaan Teknologi, (7) Implikasi Polisi dan (8) Concluding Remarks. Konsep Pengajaran-Pembelajaran (Guiding Principles) merangkumi kurikulum, pedagogi, penilaian dan bahan-bahan untuk proses pengajaran-pembelajaran. Objektif utama bagi bahagian pengurusan adalah untuk menguruskan proses pengajaran-pembelajaran di sekolah dengan lebih efisien dan cekap. Oleh itu, pihak pengurusan memerlukan pihak pentadbiran yang kuat dan profesional untuk mencapai matlamat ini dalam mendapatkan sokongan moral daripada ibu bapa dan masyarakat. Selain itu,pihak-pihak lain turut memainkan peranan mereka yang tersendiri.

           Projek Sekolah Bestari atau Smart School merupakan salah satu pengisian utama dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PPIP) 2006-2010 dalam mengintegrasikan ICT. Sekolah Bestari adalah satu Aplikasi Koridor Raya Multimedia di mana pelaksanaannya menekankan pengaplikasian ICT sebagai pengupaya pedagogi dan pengurusan sekolah. Ia dikenali sebagai program Smart School Roadmap 2005-2020 An Educational Odyssey di mana rakan usahasama projek ini adalah Telekom Smart School (TSS), yang merupakan sebuah konsortium diketuai oleh Telekom Malaysia. Pelaksanaan Sekolah Bestari adalah berdasarkan usaha dan pelbagai program yang komprehensif di dalam usaha untuk memastikan adanya perubahan kepada ICT bagi  memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.  

         Pada peringkat awal, hanya 4 mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains diperkenalkan menggunakan teknologi terkini sebagai teknik pengajaran dan pembelajaran (Mok Soon Sang, 2003). Kerajaan menjalankan pelan tindakan projek ini berperingkat  iaitu: i) Tahap 1- The Pilot (1999-2002), ii) Tahap 2- The Post Pilot (2002-2005),  iii) Tahap 3- Making All Schools Smart (2005-2010), dan iv) Tahap 4- Consolidate and Stabilise (2010-2020). Ia menjadi tanggungjawab pihak-pihak yang berkaitan iaitu; sekolah, komuniti atau masyarakat, Kementerian Pelajaran Malaysia, kerajaan negeri dan industri.

            Matlamat-matlamat dan strategi-strategi pelan tindakan secara ringkasnya adalah memperluaskan, mewujudkan dan membina sekolah-sekolah bestari menjelang 2010 serta memperkenalkan senario potensi teknologi ke arah tahun 2020. Sekolah-sekolah bestari di Malaysia adalah merupakan tempat di mana para pelajar sekolah boleh menimba ilmu dan belajar di dalam persekitaran pembelajaran yang kondusif. Ia menawarkan aktiviti kurikulum yang melibatkan penilaian yang berterusan yang diterajui oleh guru-guru dan para pentadbir yang profesional.

         Tahap 1  terdiri daripada 2 fasa utama iaitu Pilot Project Phase dan Broad roll-out phase. Bagi fasa Pilot Project, ia melibatkan 87 buah sekolah-sekolah yang terpilih dan antaranya SMK Putrajaya 1, SK Putrajaya 1, SK Putrajaya 2, SK Seri Bintang 1 dan banyak lagi. Sekolah-sekolah ini mengaplikasikan dan melaksanakan tiga jenis teknologi iaitu; (1) komputer, model makmal (Level B), (2) a limited classroom model (Level B+), dan (3) a full classroom model (Level A). Sekolah-sekolah tersebut menjadi nukleus atau perintis dalam menjayakan Projek Sekolah Bestari ini. Satu rancangan pelaksanaan telah dijalankan di mana Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menjadikan penemuan atau keberhasilan Pilot Project untuk menyediakan Master Plan bertujuan memastikan semua sekolah di negara ini mencapai taraf sekolah bestari menjelang 2010.

       Bagi Broad roll-out phase, kerajaan Malaysia dijangkakan memainkan peranan dalam menyediakan kemudahan-kemudahan asas sekolah berdasarkan keperluan-keperluan individu. Selain itu, kerajaan juga turut menggalakkan semua sekolah mencapai taraf bestari melalui inisiatif mereka tersendiri dengan menggunakan sumber kewangan dan kepakaran sendiri. Smart School Management System (SSMS) atau Sistem Pengurusan Sekolah Bestari turut diperkenalkan di mana sistem ini menyediakan bahan-bahan atau material bagi proses pengajaran-pembelajaran berasaskan elektronik yang unik. Sistem Pengurusan Sekolah Bestari memastikan berlakunya peningkatan yang lebih jauh bagi penggunaannya dan menyediakan pendekatan pembelajaran yang lengkap dan komprehensif.

       Melalui Tahap 1 juga, kita dapat mengetahui pelbagai inisiatif sekolah bestari diambil dan digunakan di mana kursus dan kemajuan ICT digunakan sepenuhnya oleh mereka yang berkemahiran seperti guru-guru, pelajar-pelajar, dan pentadbir dalam melaksanakan projek. Ini termasuklah kemahiran-kemahiran dalam; (1) pemahaman dan pengurusan teknologi, (2) perancangan dan pengurusan persekitaran pembelajaran pelajar melalui penggunaan ICT dan (3) pengurusan isu-isu kemanusiaan, etika dan sosial berdasarkan penggunaan teknologi. Seterusnya, bagi Tahap 2- The Post Pilot (2002-2005), ICT menjadi pemboleh utama (a key enabler) untuk proses pembelajaran, memperluaskan jalan untuk melaksanakan proses pengajaran berintegrasikan ICT yang lebih efektif dan untuk mendapatkan sokongan pihak-pihak yang berkepentingan dalam menjayakan pelaksanaan sekolah bestari. Selain itu, ia juga bertujuan untuk membuat pemantauan dalam mencapai target atau matlamat yang diinginkan. Ia adalah satu keperluan segera untuk menggabungkannya sebagai sebahagian perkara penting bagi memperluaskan perancangan untuk sekolah bestari.

      Pada peringkat atau Tahap 3 dan 4, pelan tindakan Sekolah Bestari terdiri daripada komponen-komponen seperti: (1) mengenalpasti pihak berkepentingan sebagai pelanggan, (2) mengenalpasti peranan pelanggan  dan pihak berkepentingan yang berbeza, (3) pengurusan berasaskan prestasi untuk pelaksanaan roadmap atau pelan tindakan, (4) menetapkan pencapaian sasaran yang jelas dan tempoh masa yang tetap dari 2005-2020, (5) menyuaipadankan senario sekolah bestari Malaysia pada 2020. Keberkesanan dan kejayaan pelaksanaan sekolah bestari ini sebenarnya bergantung kepada beberapa pihak berkepentingan iaitu; (1) sekolah, (2) masyarakat, (3) Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), (4) negeri, dan (5)  industri.

       Kesemua pihak berkepentingan tersebut memainkan peranan mereka yang tersendiri. Pihak sekolah terdiri daripada para pentadbir tertinggi, staf akademik atau guru, staf bukan akademik dan pelajar sendiri. Kerajaan  negeri yang turut berperanan besar terdiri daripada Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, Pusat Sumber Pendidikan Negeri dan Pusat Kegiatan Guru (Bahagian Pendidikan Guru). Industri pula melibatkan pihak seperti perbadanan, syarikat-syarikat multinasional dan entiti-entiti perniagaan dalam kedua-dua sektor awam dan swasta. Konsep Sekolah Bestari atau Smart School masih dan sedang dijalankan serta ianya menumpukan kepada penambahbaikan dalam teknologi maklumat. Kemajuan dan peningkatan pelaksanaannya perlulah mengambil kira usaha-usaha lain dalam memperluaskan peranan ICT di sekolah-sekolah di seluruh Malaysia.

KESIMPULAN

          Kepentingan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah tidak dapat dinafikan lagi keperluannya. Pengintegrasian ICT dalam proses ini merupakan saranan yang tepat bagi guru-guru dalam menyampaikan kaedah-kaedah pembelajaran di dalam bilik darjah. Integrasi ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dapat memperkenalkan, mengukuh dan menambahkan kemahiran kepada para guru selaras dengan konsep perkembangan dunia tanpa sempadan pada hari ini. Integrasi ICT ini juga dapat meningkatkan dan membawa kaedah-kaedah yang baru dalam proses pengajaran dan pembelajaran bilik darjah serta dapat membantu mengatasi kelemahan-kelemahan pelajar yang lebih berminat dengan berbagai-bagai stail atau gaya belajar masing-masing.  

     

       Pemilihan kaedah-kaedah atau alat-alat yang tepat juga perlu diambil kira oleh seseorang guru untuk memastikan keselarian antara mata pelajaran, waktu, situasi dan keadaan dalam memanfaatkan ICT sewaktu berlangsungnya proses pengajaran dan pembelajaran. Guru-guru semestinya harus lebih kreatif dan inovatif dalam mengaplikasikan teori-teori pembelajaran ke dalam program ICT bagi memastikan keberkesanan pengintegrasian ICT. Oleh itu, pengetahuan terhadap program-program ICT perlulah bersifat terkini atau up to date selain perlu melihat dan peka kepada isu-isu yang akan atau bakal timbul dalam program ini bagi memastikan keberkesanannya.

           Namun begitu, kita haruslah menyedari bahawa ICT hanyalah merupakan satu faktor tambahan dalam meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Ini bermakna, jika kita terlalu bergantung kepada ICT, guru tidak lagi berkesan dan akan wujud sikap individualistik dalam diri seseorang pelajar itu. Oleh yang demikian, keperluan pengajaran-pembelajaran tanpa guru sebagai pemandu atau pendidik tidak boleh dinafikan atau diminimalkan. Ini perlu dilihat dalam konteks bagaimana pendidikan asalnya merupakan kontak atau perhubungan dan interaksi antara dua akal, jiwa hati dan peribadi secara tertentu yang mendatangkan kesan yang baik dan menjamin

kejayaan sebenarnya.

SENARAI RUJUKAN

Ministry of Education Malaysia (1997). Smart School Flagship Application: The Malaysian

           Smart School. A Conceptual Blueprint.

Kementerian Pendidikan Malaysia (2001). Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi    

            (ICT) dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Unit Komputer Dalam Pendidikan: Pusat  

             Perkembangan Kurikulum.

Lai Kim Leong (2002). Integrasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi Dalam Pengajaran dan  

            Pembelajaran Matematik. Jabatan Matematik: Maktab Perguruan Batu Lintang, Kuching,  

            Sarawak.

Jamaluddin Harun dan Dr. Zaitun Tasir (2003). Multimedia dalam Pendidikan. Wangsa Maju:  

            PTS Publication & Distributors Sdn Bhd.

Multimedia Super Corridor (2005). The Smart School Roadmap 2005-2020: An Educational      

            Odyssey. (A Consultative Paper on the expansion of the Smart School Initiative to all  

            schools in Malaysia).

www.scribd.com/doc/44058890/Sek-Bestari - Cached

mohdnorizwansulaiman.blogspot.com/2009/07/media... - Cached

engkizarquran.wordpress.com/2010/04/15/pengtingnya... - Cached