This is a Malay translation of this pamphlet, “Where Did Jesus Say, ‘I Am God, Worship Me’?” that can be found here.
Di mana Yesus telah mengatakan, “Aku adalah Tuhan, sembahlah Aku”?
Al-Quran memerintahkan orang-orang Kristian untuk menilai menggunakan kitab Injil:
Surah Al-Maidah (5) ayat 47:
Dan hendaklah Ahli Kitab Injil menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah di dalamnya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.
وَلْيَحْكُمْ أَهْلُ الْإِنْجِيلِ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فِيهِ ۚ وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ {47}
Maka, apabila orang-orang Kristian menyatakan kepercayaan mereka, adalah munasabah untuk orang-orang Muslim bertanya, “Bolehkah kamu menunjukkan di bahagian mana Alkitab mengatakan demikian?” Oleh itu, orang-orang Kristian sepatutnya segera memberikan bukti daripada kitab Injil kerana Muslim tidak boleh melarang kita daripada melakukan apa yang diperintahkan oleh Al-Quran. Sesungguhnya, memandangkan Al-Quran mengiyakan bukan sahaja kitab Injil tetapi juga kitab Taurat (Al-Maidah [5]:43), orang-orang Muslim tidak boleh tidak mengendahkan apa yang dikatakan di dalam Alkitab tanpa memberontak terhadap Al-Quran.
(Perhatian: Risalah ini mengandungi ayat-ayat Al-Quran di dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Arab. Sila jangan buang risalah ini secara sembarangan.)
Ramai orang Muslim di seluruh dunia telah dilatih untuk bertanya kepada orang-orang Kristian, “Di mana Yesus telah mengatakan, ‘Aku adalah Tuhan, sembahlah Aku’ dan ungkapan tersebut wajib seperti itu?” Namun, jika Muslim mengatakan Yesus hanya boleh mendakwa diriNya Tuhan hanya dengan mengeluarkan ungkapan sedemikian, kita boleh menjawab dengan bertanya, “Di mana Yesus telah mengatakan, ‘Aku hanya seorang nabi, jangan sembah Aku,’ dan ungkapan tersebut wajib seperti itu?” Tuntutan tidak munasabah ini jika diaplikasikan dengan konsisten, juga akan memaksa Muslim untuk menolak fahaman mereka sendiri!
Namun, kita mempunyai cara yang mudah untuk mengkaji apa yang Yesus katakan tentang diriNya. Menurut Alkitab dan Al-Quran, terdapat beberapa pengakuan tertentu yang mana hanya Tuhan yang layak untuk mengakuinya. Misalnya, hanya Tuhan yang boleh mengakui bahawa Dia adalah pencipta alam semesta. Sudah tentu, manusia biasa boleh mengeluarkan ungkapan yang sama, “saya pencipta alam semesta,” tetapi kenyataan tersebut jelas adalah palsu jika ia bukan diungkapkan oleh Tuhan.
Oleh itu, jika Yesus mengeluarkan kenyataan yang hanya boleh diungkapkan dengan benar oleh Tuhan, maka kita mesti menyimpulkan bahawa Yesus telah mengakui diriNya sebagai Tuhan. Menariknya, orang-orang Yahudi, Kristian dan Muslim bersetuju dengan banyak dakwaan yang mana tidak boleh dikeluarkan oleh manusia biasa. Mari kita pertimbangkan beberapa dakwaan tersebut.
Yang Awal/Pertama dan Yang Akhir
Surah Al-Hadid (57) ayat 3 di dalam Al-Quran merujuk kepada Allah sebagai “Yang Awal dan Yang Akhir; dan Yang Zahir serta Yang Batin.” Alkitab bahagian Perjanjian Lama bersetuju bahawa Tuhan adalah “Yang Awal dan Yang Akhir”, seperti yang tertulis di dalam kitab Yesaya:
Yesaya 44:6 – TUHAN yang memerintah dan melindungi Israel, TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Akulah yang pertama dan yang terakhir, Allah satu-satunya; selain Aku, tiada yang lain.”
Apabila perkataan “TUHAN” ditulis dengan huruf besar di dalam Perjanjian Lama, perkataan tersebut merujuk kepada Yahweh, pencipta kepada alam semesta. Memandangkan kedua-dua Alkitab dan Al-Quran memberikan panggilan “Yang Awal dan Yang Akhir” untuk Tuhan, ia pasti mengejutkan bagi Muslim apabila melihat Perjanjian Baru dan membaca Wahyu 1:17-18, di mana Yesus berkata:
“Ketika aku melihat-Nya, aku meniarapkan diri di hadapan-Nya seperti orang mati. Dia meletakkan tangan kanan-Nya padaku lalu berfirman, "Janganlah takut! Akulah yang awal dan yang penghujung. Akulah Dia yang hidup! Aku sudah mati, tetapi lihatlah, Aku hidup selama-lamanya. Aku berkuasa atas kematian dan atas dunia orang mati.”
Adakah seorang nabi biasa akan mengakui dirinya sebagai “Yang Awal dan Yang Akhir?”
Siapa yang mengampunkan dosa?
Walaupun seorang manusia boleh berdosa terhadap orang lain, terdapat kesedaran bahawa semua dosa adalah suatu pemberontakan terhadap Tuhan. Oleh itu, walaupun kita boleh saling memaafkan kesalahan yang telah kita lakukan terhadap satu sama lain, hanya Tuhan yang boleh memberikan pengampunan mutlak. Maka, Nabi Daud dapat berkata kepada Tuhan, “Aku telah berdosa terhadap-Mu — terhadap-Mu sahaja, dan aku melakukan perkara yang Engkau anggap jahat.” *(Mazmur 51:6), dan Nabi Daniel dapat mengisytiharkan, “Engkau penuh belas kasihan dan keampunan, walaupun kami telah memberontak terhadap-Mu.” (Daniel 9:9).
[* The numbering system for Psalm (called Mazmur) in the Bahasa Melayu translation is a bit different than the English translation. The verse in Psalm 51:4 is numbered as 51:6 in Alkitab Berita Baik BM]
Al-Quran juga bersetuju bahawa pengampunan mutlak hanya datang daripada Tuhan seperti yang tertulis, “dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah” (Al-i-Imran [3]:135).
Ia mungkin mengejutkan orang-orang Muslim apabila mengetahui, di dalam Perjanjian Baru, Yesus mengakui boleh mengampunkan dosa-dosa. Di dalam Markus 2, seorang lelaki yang lumpuh dibawa kepada Yesus agar dapat disembuhkan. Respon Yesus telah membuatkan pemimpin-pemimpin agama menuduhNya sebagai telah mengkufuri Tuhan:
Markus 2:5-7 – Yesus melihat bahawa mereka sangat beriman. Oleh itu Dia berkata kepada orang lumpuh itu, "Anak-Ku, dosamu sudah diampunkan." Beberapa orang guru Taurat yang duduk di situ berkata dalam hati, "Alangkah beraninya dia mengkufuri Allah! Tidak seorang pun boleh mengampunkan dosa kecuali Allah!"
Guru-guru Taurat tersebut dengan jelas mengetahui bahawa hanya Tuhan yang boleh mengampunkan dosa. Namun Yesus (yang juga merujuk diriNya sebagai “Anak Manusia”) mengetahui fikiran mereka dan menjawab bahawa “Anak Manusia berkuasa mengampunkan dosa.” (Markus 2:10). Dia kemudian menyembuhkan orang lumpuh tersebut dan membuktikan bahawa dakwaan-dakwaanNya adalah benar.
Terang/Cahaya
Di dalam Mazmur 27:1, Nabi Daud mengatakan, “TUHAN adalah cahayaku dan penyelamatku”. Al-Quran juga mengatakan hal yang sama iaitu “Allah yang menerangi langit dan bumi.” Namun, Yesus mengatakan bahawa Dia adalah “Cahaya”:
Yohanes 8:12 – "Akulah cahaya bagi dunia. Orang yang mengikut Aku tidak akan berjalan dalam kegelapan, tetapi beroleh cahaya yang memberikan hidup."
Kebenaran
Nabi Daud merujuk kepada Yahweh sebagai “baik dan benar” (Mazmur 25:8). Menurut Al-Quran, “Allah jualah Tuhan yang Sebenar-benarnya” (Al-Hajj [22]:6). Namun, Yesus meletakkan gelaran ini ke atas diriNya sendiri:
Yohanes 14:6 – Kata Yesus kepadanya: “Akulah jalan dan kebenaran dan hidup. Tidak ada seorangpun yang datang kepada Bapa, kalau tidak melalui Aku.”
Bagaimana seorang manusia biasa boleh mengaku sebagai “kebenaran”? Bukankah seorang nabi akan sekadar mengatakan bahawa dia membawa kebenaran?
Hakim Terakhir
Di fasal 3 kitab Nabi Yoel, Yahweh mengisytiharkan bahawa bangsa-bangsa akan dikumpulkan dan Dia akan “akan duduk dan menghakimi, semua bangsa di sekitar” (ayat 12). Menurut Nabi Daud, “Tetapi TUHAN memerintah selama-lamanya; Dia mendirikan takhta-Nya untuk menghakimi dunia. Dia memerintah dunia dengan adil, dan menghakimi rakyat dengan saksama.” *(Mazmur 9:8-9)
Al-Quran juga mengatakan bahawa Allah akan menghakimi dunia, memberikan nikmat syurga dan menghukum mereka yang tidak percaya di dalam neraka:
Al-Hajj (22):56-57 – Kuasa pemerintahan pada hari kiamat itu tertentu bagi Allah. Ia akan menghukum di antara mereka. Maka orang-orang yang beriman dan beramal soleh ditempatkan di dalam Syurga yang penuh dengan segala nikmat dan kesenangan; Dan orang-orang yang kafir serta mendustakan ayat-ayat keterangan kami, maka mereka beroleh azab seksa yang menghina.
Maka, mengapa Yesus juga mengatakan kepada pengikut-pengikutNya bahawa Dia akan menjadi Hakim Terakhir untuk semua manusia?
Matius 25:31-32 – “Apabila Anak Manusia datang sebagai Raja dengan semua malaikat Allah, Dia akan duduk di atas takhta-Nya yang mulia. Umat manusia di bumi ini akan dikumpulkan di hadapan-Nya. Kemudian Dia akan memisahkan mereka menjadi dua kumpulan, seperti gembala memisahkan domba daripada kambing.”
Yesus juga mengatakan bahawa Dia akan membenarkan orang-orang tertentu untuk memasuki syurga sementara yang lain akan dimasukkan ke dalam neraka. Bukankah ini adalah perkara yang hanya boleh dilakukan oleh Tuhan?
Kebangkitan
Alkitab dan Al-Quran bersetuju bahawa Tuhan yang akan membangkitkan orang-orang mati.
1 Samuel 2:6 – TUHAN mematikan manusia, Dia juga menghidupkan mereka. Dia menghantar manusia ke dunia orang mati, dan Dia juga membawa mereka kembali.
Al-Hajj (22):7 – dan bahawa sesungguhnya Allah akan membangkitkan (menghidupkan semula) orang-orang yang di dalam kubur.
Memandangkan hanya Tuhan yang boleh membangkitkan orang mati pada hari kebangkitan, mengapa pula seorang nabi biasa memberitahu pengikut-pengikutNya bahawa Dia yang akan membangkitkan orang mati? Tidakkah ini mengkufuri Tuhan?
Yohanes 5:25-29 – “Percayalah: Akan tiba masanya, malah sudah tiba, apabila orang mati akan mendengar suara Anak Allah, dan orang yang mendengarkan apa yang dikatakan-Nya akan hidup. Sebagaimana Bapa sendiri sumber hidup, Dia menjadikan Anak-Nya sumber hidup juga. Dia sudah memberikan kuasa kepada Anak untuk menghakimi, kerana Anak itu Anak Manusia. Janganlah kamu hairan mendengar hal ini, kerana akan tiba masanya apabila semua orang mati akan mendengar suara-Nya, lalu keluar dari kubur. Orang yang berbuat baik akan bangkit dan hidup, tetapi orang yang berbuat jahat akan bangkit dan dihukum.”
Yohanes 11:25 – Yesus berkata kepada Marta, "Akulah yang membangkitkan orang mati dan yang memberikan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati.
Kemuliaan Tuhan
Al-Quran mengatakan bahawa “Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” (Al-Hadid [57]:1)
Di dalam Perjanjian Lama, kita mendapati Yahweh tidak akan berkongsi kemuliaan-Nya dengan yang lain.
Yesaya 42:8 – “Akulah TUHAN, itulah nama-Ku. Aku tidak akan memberikan kemuliaan-Ku kepada sesiapa, atau pujian-Ku kepada mana-mana berhala.” (Contoh lain: Yesaya 48:11 – Perbuatan-Ku ini bagi kepentingan-Ku sendiri, Aku tidak akan membiarkan nama-Ku dicemar, atau membahagi kemuliaan-Ku dengan sesiapa pun.)
Namun, Yesus bukan sahaja mengaku memiliki kemuliaan bersama dengan Bapa, tetapi Dia telah memiliki kemuliaan bersama Bapa sebelum dunia diciptakan!
Yohanes 17:5 – “Ya Bapa, muliakanlah Aku sekarang dengan kemuliaan yang Aku miliki bersama-sama-Mu sebelum dunia ini dijadikan.”
Tidakkah ini menunjukkan dakwaan keTuhanan?
Bukti-bukti lain
Di dalam Markus 2:28, Yesus memanggil diriNya sebagai “Tuhan atas hari Sabat”. Di dalam Matius 22:41-45, Dia membuktikan bahawa Dia adalah Tuhan kepada Nabi Daud. Di dalam Yohanes 8:39-58, Yesus mengatakan bahawa Dia sudah ada sebelum Nabi Abraham ada. Di dalam Matius 12:6, Yesus mengaku bahawa Dia lebih penting daripada Rumah Tuhan.
Yesus mengatakan bahawa Dia mempunyai perhubungan mutlak yang unik dengan Bapa (Matius 11:27), bahawa Dia boleh memakbulkan doa (Yohanes 14:13-14), bahawa Dia hadir bersama-sama di mana pun pengikut-pengikutNya berkumpul (Matius 18:20), bahawa Dia memiliki “segala kuasa di syurga dan di bumi” (Matius 28:18), dan Dia bersama-sama dengan para pengikutNya selama-lamanya (Matius 28:20). Malah, Dia juga memberikan dakwaan yang mengejutkan dengan mengatakan “Semua milik Bapa-Ku milik-Ku juga” (Yohanes16:15).
Menurut Yesus, semua orang perlu memuliakanNya sama seperti kita memuliakan Bapa:
Yohanes 5:21-23 – “Sebagaimana Bapa membangkitkan orang mati dan menyebabkan mereka hidup, begitu juga Anak memberikan hidup kepada orang yang dikehendaki-Nya. Bapa tidak menghakimi sesiapa pun. Dia sudah menyerahkan segala kekuasaan untuk menghakimi orang kepada Anak-Nya. Oleh itu semua orang menghormati Anak sebagaimana mereka menghormati Bapa. Orang yang tidak menghormati Anak, juga tidak menghormati Bapa yang mengutus Anak.”
Memandangkan salah satu cara kita memuliakan Bapa adalah melalui penyembahan kita, ia sepatutnya tidak mengejutkan jika pengikut-pengikut Yesus menyembahNya di dalam pelbagai situasi. Sesungguhnya, kitab Injil memberitahu kita bahawa Yesus disembah di sepanjang kehidupanNya: selepas Dia dilahirkan (Matius 2:11), semasa tugas pelayananNya (Matius 14:33, Yohanes 9:38), selepas kebangkitanNya (Matius 28:17), dan selepas Dia kembali ke syurga (Lukas 24:52). Pengikut Yesus iaitu Tomas juga memanggilNya sebagai “Ya Tuhanku! Ya Allahku!” (Yohanes 20:28).
Penilaian
Di mana Yesus telah mengatakan, “Akulah Tuhan, sembahlah Aku”? Seperti yang telah kita lihat, Yesus mengaku sebagai Yang Awal dan Yang Akhir, sebagai pengampun dosa, sebagai Cahaya, sebagai Kebenaran, sebagai Hakim Terakhir, dan juga Kebangkitan.
Yesus menyatakan bahawa Dia memiliki kemuliaan bersama Bapa sebelum dunia diciptakan, bahawa Dia adalah Tuhan atas Hari Sabat dan Raja Daud, bahawa Dia telah melihat Abraham, dan Dia lebih penting daripada Rumah Tuhan.
Yesus memiliki perhubungan yang unik dengan Bapa, Dia boleh memakbulkan doa, Dia ada bersama-sama dengan pengikut-pengikutNya walau di mana mereka berada, Dia memiliki kuasa mutlak ke atas bumi dan syurga, Dia bersama-sama dengan pengikut-pengikutNya selama-lamanya, dan segala sesuatu adalah milikNya. Yesus juga menuntut agar dihormati seperti mana Bapa dihormati.
Mungkin ada yang akan mempertikaikan bahawa beberapa daripada poin-poin ini boleh diberikan tafsiran berbeza, namun, jika kita melihatnya secara keseluruhan, poin-poin ini jelas menunjukkan ia bukanlah dakwaan yang akan dibuat oleh manusia biasa. Poin-poin ini juga bukan dakwaan yang dibuat oleh seorang nabi yang agung. Ini adalah dakwaan-dakwaan yang hanya boleh datang daripada Tuhan. Inilah sebabnya mengapa orang Kristian percaya Yesus adalah Tuhan.
Kata-kata Tambahan: Dilema Islam
Memandangkan Alkitab dengan jelas menyokong pandangan Kristian terhadap Yesus, Muslim yang hendak menidakkan keTuhanan Yesus akan terpaksa mengatakan kitab Injil telah diubah. Namun, jika kitab Injil telah diubah, mengapa Al-Quran memerintahkan orang-orang Kristian untuk merujuk kepada kitab Injil? Dengan memerintahkan kita untuk menilai sesuatu berdasarkan apa yang terdapat di dalam kitab Injil, Al-Quran secara tidak langsung memerintahkan orang Kristian untuk menolak Islam!
Namun, ia bertambah buruk bagi pihak Muslim. Al-Quran mengakui pengwahyuan dan kebolehpercayaan kitab-kitab Kristian (Al-i-Imran [3]:3-4, Al-Maidah [5]:47,66, Al-A’raf [7]:157, Yunus [10]:94), serta ketidakmampuan manusia mengubah Firman Tuhan (Al-An’am [6]:114-115, Al-Kahf [18]:27). Oleh yang demikian, Muslim tidak boleh menolak apa yang dikatakan di dalam kitab Injil, yang mana memberikan mereka dilema yang agak rumit. Jika kitab Injil boleh dipercayai, Islam menjadi palsu kerana kitab Injil menyatakan Yesus sebagai Tuhan. Sebaliknya, jika kitab Injil tidak boleh dipercayai, Islam juga kekal menjadi palsu kerana Al-Quran mengatakan kitab Injil adalah Firman Tuhan. Walau apa pun pilihan yang dibuat, Islam kekal menjadi palsu, dan sesiapa pun yang mahu mencari kebenaran tidak akan menemuinya di dalam Al-Quran
Untuk pembelajaran lanjutan
Ramai pembaca pastinya akan mempunyai persoalan atau bantahan terhadap argument-argumen yang terdapat di dalam risalah ini. Maka kami telah menyediakan ruangan komen di pautan berikut:
http://www.answeringmuslims.com/2011/06/where-did-jesussay-i-am-god-worship-me.html
(Actually, the above link doesn’t exist in Answering Muslims blog)