Anugerah Hadiah E-Sastera.com

Oleh Latifah Arifin

latifah@bharian.com.my

2011/12/19 (Isnin)

Kumpulan Lagu Puisi E-Sastera, Kuala Lumpur yang berjaya meraih Anugerah Khas Kegiatan Dampak Tinggi.

ANUGERAH Khas Kegiatan Dampak Tinggi yang julung kali diperkenalkan pada Anugerah Hadiah E-Sastera.com (HESCOM) yang masuk tahun kesembilan tahun ini, menjadi milik penyair Kedah, Puzi Hadi; Kumpulan Lagu Puisi Esastera, Kuala Lumpur dan Dahrie yang berasal dari Selangor.

Puiz yang juga Pengarah HESCOM 2011, melafazkan kesyukuran kerana program penganugerahan tahunan itu berjalan lancar dan berlangsung penuh meriah.

“Menyemarakkan lagi acara, pada sesi petang sebelum acara kemuncak penganugerahan HESCOM, program Bicara Tokoh E-SASTERA bersama-sama Prof Dr Ir Wan Abu Bakar turut diadakan di Kelab Kedah DiRaja, Alor Setar.

“Di samping itu, pelancaran buku dan album lagu puisi terbitan E-Sastera Enterprise turut dilancarkan yang antaranya Antologi Puisi Ekstasi Cinta oleh S Iqra dan novel kanak-kanak, Sir Khatim (Ahkarim). Album puisi, Cinta dan Aku nyanyian SAS Ambakri yang berasal dari Kelantan turut dilancarkan,” katanya.

Selain Puzi, turut mengecap kejayaan pada malam terbabit ialah penulis yang juga anak jati Kedah, Azmi Rahman, apabila beliau diangkat sebagai pemenang keseluruhan HESCOM 2011, sekali gus menerima Piala Pusingan Nik Zafri.

Antara pengkarya lain yang turut meraih anugerah ialah penyair Sabah yang memenangi hadiah pertama bagi kategori Anugerah Penyair Alam Siber (APAS), membawa pulang wang tunai RM 2011.

Selain itu, Anugerah Blog eSasterawan pula diraih Aziz Zabidi dari Putrajaya dan Anugerah Soneta Melayu Alam Siber (ASMAS) menyaksikan penyair Kedah, Azmi Rahman menggondol hadiah utama.

Lebih 80 karyawan sastera siber di seluruh tanah air yang berkarya dalam pelbagai genre puisi, novel dan lagu meraikan kejayaan rakan seperjuangan yang menyumbang dalam laman sesawang E-SASTERA yang diasaskan sejak 2005 oleh Presiden Persatuan Aktivis E-Sastera Malaysia, Prof Dr Ir Wan Abu Bakar Wan Abas atau lebih dikenali Irwan Abu Bakar.

Terdahulu, HESCOM 2010 diadakan di Laman Budaya, Shah Alam menobatkan Sasterawan Negara kek-11, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah atau lebih dikenali sebagai Kemala sebagai penerima Anugerah Khas Tokoh Sasterawan Siber Selangor.

Program anjuran Persatuan Aktivis E-Sastera Malaysia (E-SASTERA) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kedah (JKKNK) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU), berlangsung pada 10 Disember lalu di Auditorium JKKNK.