Suasana malam ini sungguh sunyi sepi sekali. Sekali-sekala terdengar suara cengkerik yang sayup-sayup kedengaran. Ketika semua orang balik kampung bercuti hari minggu, aku masih di sini untuk menyiapkan kerja-kerja yang masih tertangguh lagi. Bukan niat di hati tidak mahu pulang tetapi aku tidak mahu kerja yang diberi di buat dengan tergesa-gesa dan tidak sepenuh hati. Hasilnya pasti tidak akan memuaskan hati ku kelak. Ketika malam yang sudah hendak menginjak ke pagi ini, aku diberi kesempatan waktu untuk menyiapkan karangan refleksi kedua. Karangan refleksi ini harus disiapkan malam ini juga. ‘Microteaching’ baru sahaja berlalu setelah berhari-hari hati ini berdebar memikirkan tentang perkara tersebut. Bila kenangkan kembali saat itu; sayu sangat rasa hati ini. Kenapa serba tidak menjadi sahaja ‘microteaching’ ku pada ketika itu? Aku sudah membuat persediaan yang cukup tetapi apabila tiba je saat itu lidah ku tiba-tiba jadi kelu dan tidak menjadi seperti yang aku harapkan. Aku tiba-tiba jadi germuruh serta hilang keyakinnan diri apabila berada dihadapan kelas. Mengapa semua ini patut terjadi kepada aku?

Bila difikirkan kembali, ini mungkin pengalaman pertama aku mengajar di hadapan dalam kelas. Mungkin juga kerana aku belum pernah melakukannya sebelum ini, Aku tiba-tiba hilang keyakinan dan gemuruh apabila memandang wajah-wajah rakan di hadapanku. Aku menjadi tidak keruan dan hilang arah sejenak. Namun aku cuba kuatkan azam dan semangat untuk meneruskan ‘microteaching’ ku pada hari tersebut. Bahasa Inggerisku tiba-tiba menjadi tunggang-langgang padahal sebelum ini aku begitu lancar menyebutnya. Kesilapan demi kesilapan aku lakukan. Aku sedar akan semua itu tetapi apakan dayaku semua itu telah berlaku dengan sekelip mata sahaja. Perasaan terkilan dan tidak puas hati masih tertanam dibenak sanubari ini walaupun sudah seminggu ‘microteaching’ berakhir. Kadang-kadang aku terasa seperti diketawakan sahaja apabila soalan yang di berikan oleh aku kepada rakan sekelas begitu mudah dijangka dan dijawab. Teapi aku tidak pernah menafikan semua ini terjadi mungkin kerana aku belum pernah mengajar sebelum ini.

Masalah kedua yang terus membelengu diri ini adalah kelemahan pengetahuan dalam memahami kandungan pedagogi atau ‘pedagogical Content Knowledge’ (PCK). Aku sedar PCK merupakan salah satu dari teras-teras pengetahuan yang harus dimiliki oleh seorang guru. Jadi PCK adalah benar-benar penting untuk menjadi seorang guru yang berjaya. Kelemahan ini sentiasa bermain di fikiranku setiap masa. Aku berasa kagum dengan Dr. Nurul melihat beliau mengajar dengan penuh yakin tentang sesuatu topik. Bolehkah aku menjadi seperti beliau?

Masalah yang agak merunsingkan fikiran ini ketika itu adalah aku tidak tahu nak ‘probe further’ soalan yang telah di jawab oleh rakan kelas. Aku begitu rasa begitu tertekan sekali ketika itu. Bagaimanakah harus aku cuba untuk terus-menerus bertanya soalan jika soalan yang ditanya oleh aku akan berhenti selepas di jawab oleh mereka. Aku tidak mampu meneruskan pertanyaan berkaitan soalan yang sama kepada mereka. Ketika itu aku terfikir bagaimana Dr Nurul boleh melakukan ‘probe furthur’ dengan mudah sahaja? Mungkinkah soalan yang ditanya aku benar-benar tidak mencabar minda mereka atau mungkin juga aku belum mampu mencapai satu tahap kesempurnaan untuk menjadi seorang guru fizik yang efektif. Seorang guru Fizik yang efektif bukan sahaja mampu mencungkil idea dari pelajarnya tetapi dapat mengaitkan sesuatu topik yang di ajar dengan kehidupan seharian.

Kini baru aku sedar akan kelemahan diri ini. Aku akan sentiasa berfikiran positif dan cuba memotivasikan diri sebaik mungkin. Aku akan berusaha dengan lebih gigih lagi dan memastikan setiap langkah yang diambil adalah jalan terbaik untuk aku mencapai cita-citaku ini. Mulai saat ini aku berjanji pada diri ini yang aku akan berusaha lebih keras untuk memperbaiki diri dan akan terus sentiasa berusaha memajukan diri selangkah demi selangkah bagi mencapai impian menjadi seorang guru Fizik yang efektif dan cemerlang kelak.

Langkah pertama yang akan aku ambil adalah dengan meningkatkan pnguasaa penggunaan dalam Bahasa Inggeris. Aku akan mempersiapkan diri dengan memperbanyakan membaca bahan bacaan yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar di dalam novel dan majalah ilmiah. Sebenarnya bukan sukar pun untuk mencari bahan bacaan dalam bahasa tersebut. Aku boleh bermula dengan mengantikan membaca surat khabar yang berbahasa Melayu kepada surat khabar yang berbahasa Inggeris. Ini bukan sahaja meningkatkan penguasaanku dalam pertuturan tetapi juga akan menambahkan lagi kosa kata aku dalam Bahasa tersebut. Kenapa sering kufikirkan Bahasa Inggeris sesuatu yang susah padahal kalau diikutkan masa aku mengenal bahasa ini cukup-cukup lama.

Bagi meningkatkan penguasaanku dalam kandungan pedagogi (PCK), aku akan lebih tekun membaca buku-buku teks dan rujukan berkaitan mata pelajaran  Fizik untuk menambahkan lagi pengetahuan tentang sesuatu topik dalam subjek tersebut. Aku akan mengulangkaji terlebih dahulu topik yang hendak diajar sebelum masuk ke dalam kelas untuk mengajar sesuatu topik. Dengan ini aku akan lebih faham apa yang hendak di ajar kepada pelajar dan pelajar akan lebih cepat memahami apa yang akan di ajar oleh aku kelak. Dengan memperbanyakkan lagi bacaan berkenaan matapelajaran tersebut, ia akan dapat menambahkan lagi ilmu pengetahuan aku tentang sesuatu topik di dalam matapelajaran tersebut. Aku juga boleh bertanya kepada Dr Nurul atau mana-mana pensyarah jika aku tidak faham sesuatu topik tersebut. Ini akan menguatkan lagi pengetahuan dan kefahaman ku tentang sesuatu topik itu serta ini akan memudahkan aku ketika hendak melakukan ‘probe furthur’ kelak.

Langkah yang disusun dan dirangka rapi ini bukanlah sekadar angan-angan kosong sahaja. Aku akan pastikan setiap langkah yang di rancang ini akan aku turuti bagi memastikan impianku menjadi seorang guru Fizik yang cemerlang kelak akan terlaksana. Guru Fizik yang cemerlang bukan sahaja melahirkan pelajar yang seimbang dari segi akademik tetapi juga seimbang dari segi rohani, emosi dan jasmani.