Tajuk: Cinta Berbalas Di Meja 17
Penulis: Irwan Abu Bakar
Penerbit/Terbitan: eSastera Enterprise/2008
Halaman: 191 muka surat
Harga: RM17
|
|
Pengulas: Al-Abror Mohd Yusuf (abror@hmetro.com.my )
JIKA anda memang gemar membaca tetapi terpaksa mengehadkannya kerana dihambat waktu atas pelbagai alasan, barangkali buku ini mampu memberikan jawapan kepada masalah itu.
Dipercayai, penulisnya, Irwan Abu Bakar sengaja membahagikan novel ini kepada 17 bab untuk disesuaikan dengan judulnya.
Ditulis sebagai sebuah novel antiplot, Cinta Berbalas Di Meja 17 diisi dengan pelbagai cerita yang tidak mempunyai pertalian di antara satu bab dengan bab lain, kecuali oleh sebuah meja bernombor 17 di sebuah restoran bernama Restoran eSastera.
Bermula dengan bab pertama yang agak santai, lucu dan mengejutkan, ia berkembang kepada pelbagai tema lain termasuk percintaan, fiksyen sains, politik dan satira.
Semua kisah itu sama ada sederhana panjang atau sangat pendek dihidangkan kepada pembaca dengan mengaitkannya dengan meja bernombor 17 di Restoran eSastera.
Barangkali pendekatan penulisan novel antiplot masih jarang digunakan di negara ini. Selain Cinta Berbalas Di Meja 17, novel antiplot lain yang popular adalah hasil garapan Sasterawan Negara, S Othman Kelantan, melalui cerita Nagogho Astana (1997).
Bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan di Universiti Malaya, Irwan pernah menghasilkan pelbagai karya kreatif sama ada di media cetak atau dunia siber melalui laman komuniti e-sastera.com.
Berdasarkan pengalaman dan pencapaiannya sebelum ini termasuk memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia dalam kategori cerpen, banyak yang boleh diharapkan daripada novel terbarunya ini.
Kerencaman tema dan cerita dalam Cinta Berbalas Di Meja 17 memberikan kelainan kepada pembaca, selain mengelakkan perasaan jemu kerana berterusan dihadapkan dengan perkembangan sesuatu plot.
Bagaimanapun, pendekatan muka depan novel ini sedikit mengecewakan kerana dibuat dengan kurang sentuhan seninya. Disebabkan itu, mesej dibawa gambar muka depan itu agak mengelirukan kerana tidak dapat membezakannya antara sebuah novel serius atau tidak.
Penggunaan lakaran mengiringi setiap bab juga menjejaskan penampilannya sebagai sebuah novel menarik. Ia mengingatkan pembaca kepada naskhah untuk remaja yang kebiasaannya memang kaya dengan lukisan bagi membantu memudahkan pemahaman pembaca muda atau menjadi penarik kepada mereka.
Dapat dibayangkan jika novel ini tampil dengan hiasan muka depan lebih kreatif dan bermakna seperti ditunjukkan kebanyakan novel semasa. Hal ini wajar diberi perhatian kerana kecenderungan pembaca masih lagi banyak dipengaruhi susun atur dan stail muka depan sesebuah bahan bacaan.
Sebuah lagi novel antiplot terbitan eSastera Enterprise, Hostel - Debaran Kedua (2004) didapati menggunakan hiasan muka depan lebih menarik walaupun persembahan grafiknya masih banyak boleh diperbaiki.
Selebihnya, Cinta Berbalas Di Meja 17 sebuah karya yang kreatif dan menghiburkan.
Pembaca hanya perlu membuka luas minda ketika membaca halaman demi halaman buku ini dan bersedia menerima apa saja kemungkinan dihidangkan penulisnya pada akhir sesebuah bab, sama ada ia mengenai percintaan tragis, sebuah dunia aneh dan tersendiri atau pertandingan realiti yang kejam dan penuh debaran.
Semuanya menepati ciri sebuah karya antiplot (atau tanpa plot) yang bersifat 'kebetulan, bebas daripada kongkongan masa khusus serta realiti tidak konsisten'.
Pada akhir naskhah ini, penulis menyediakan epilog bagi menutup pengkisahan meja bernombor 17 di Restoran eSastera itu. Cuma, dia mengambil jalan mudah (dan popular) bagi menghidangkan penyelesaian kepada pembaca dengan mematikan kewujudan meja berkenaan melalui satu insiden agak ganas, tetapi penuh perikemanusiaan.